KKM tubuh pasukan petugas khas siasat kematian pakar perubatan patologi

Bernama
Oktober 2, 2024 18:53 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu selaras dengan pendirian tegas KKM yang tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan satu pasukan petugas khas yang akan berkuat kuasa pada 10 Okt bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu baru-baru ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu selaras dengan pendirian tegas KKM yang tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.
Beliau berkata pasukan terdiri lima ahli bebas yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah.
Mereka ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Ahli Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan yang juga bekas Penasihat Undang-Undang KKM Datuk Mohamad Fazin Mahmud.
Ahli lain termasuk Pakar Patologi dan Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng dan Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Chan Lai Fong.
Dzulkefly berkata tugasan pasukan berkenaan merangkumi melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.
"Mereka akan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus dan mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan berkenaan.
"Mereka juga akan menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian Pakar Perubatan Patologi Kimia di Lahad Datu serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan," katanya.
Dilaporkan seorang pakar di hospital itu ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu pada 29 Ogos lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar siasatan penuh dilakukan berhubung insiden berkenaan.
-- BERNAMA
#KKM #pasukan petugas khas #siasat kematian #pakar perubatan patologi
;