KKM tingkat keupayaan pensampelan 16,000 sehari bermula April

Harits Asyraf Hasnan
Mac 22, 2020 19:06 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata untuk minggu ini sahaja, setiap hari pihaknya mampu menjalankan 3,500 ujian pensampelan sehari. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan akan meningkatkan keupayaan pensampelan sehingga 16,000 sehari menjelang April ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata untuk minggu ini sahaja, setiap hari pihaknya mampu menjalankan 3,500 ujian pensampelan sehari.
“Setakat ini kalau ikut kemampuan kita, kita tingkatkan daripada 3,500 ketika ini kepada 7,000 minggu hadapan.
“Bulan hadapan, kita akan laksanakan 16,000 ujian sehari,” ujarnya pada sidang media di sini hari ini.
Ujarnya, pendekatan bersasar sedang dilaksanakan oleh pihaknya di peringkat lokaliti dan daerah dalam mengenalpasti pesakit dalam siasatan (PUI) dan kontak rapat.
Malah, beliau berkata sehingga klini terdapat pertambahan enam lagi hospital hibrid yang akan membantu menampung jumlah kes positif COVID-19 yang dijangka akan terus meningkat.
KKM hari ini mengeluarkan senarai lokaliti dan daerah yang mempunyai kes COVID-19 di mana Petaling Jaya merekodkan kes tertinggi iaitu 96 kes.
#COVID-19 #COVID19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #Noor Hisham Abdullah
;