KKM tidak tolak ansur sebarang amalan pakatan harga, antipersaingan perolehan ubat

Bernama
Ogos 12, 2024 06:50 MYT
Kementerian Kesihatan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga, antipersaingan atau amalan mengkompromikan pengurusan perolehan yang menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga, antipersaingan atau amalan yang boleh mengkompromikan pengurusan perolehan yang menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, kementerian memandang serius amalan sesetengah syarikat pengeluar dan pembekal farmaseutikal yang menawarkan harga produk lebih tinggi kepada kerajaan berbanding kepada pihak swasta bagi sesetengah produk ubat.
"Terutamanya pemegang pendaftaran produk tunggal sama ada yang menawarkan produk paten ataupun generik yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Beberapa libat urus dan perbincangan telah diadakan dengan wakil-wakil syarikat pengeluar, pengilang ubat-ubatan dan peralatan perubatan termasuk Pemegang Pendaftaran Produk Farmaseutikal.
Justeru, kementerian menjelaskan penambahbaikan sedang dilaksanakan terhadap dasar dan proses perolehan KKM merangkumi fasa pertama iaitu pengurangan kerenah birokrasi permohonan kelulusan daripada agensi KKM.
"Ia melibatkan usahasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menambah baik proses kelulusan pendaftaran peranti dan peralatan perubatan di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan permohonan kelulusan penubuhan fasiliti dan kemudahan kesihatan swasta di bawah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
"Kini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang meneliti semula proses pendaftaran produk farmaseutikal untuk memudahcarakan pendaftaran produk farmaseutikal di pasaran tempatan supaya KKM mempunyai lebih banyak pilihan produk," menurut kenyataan itu.
Fasa kedua pula menurut KKM, melibatkan penambahbaikan proses perolehan termasuk hak kerajaan untuk merundingkan semula harga dan pembekalan produk alternatif yang lebih murah berbanding produk kontrak dalam keadaan tertentu dengan syarikat yang memenangi tender, penggiliran pegawai termasuk pegawai teknikal yang terlibat dalam proses perolehan serta kehadiran pegawai Unit Integriti sebagai pemerhati dalam Lembaga Perolehan.
Kenyataan itu menjelaskan KKM bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik pada kos berpatutan kepada rakyat dan hal ini dapat dicapai sekiranya harga perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan adalah munasabah.
"Peruntukan perbelanjaan produk farmaseutikal oleh KKM adalah dalam lingkungan RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun," menurut kenyataan itu yang menyambut baik dan menyokong aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan fokus kerajaan dalam Belanjawan 2025 adalah untuk menangani dan mengurangkan kos sara hidup rakyat yang disebabkan antara lain masalah ketirisan, rasuah, kartel dan monopoli.
Menurut kenyataan itu, KKM mengambil iktibar daripada pengalaman ketika berhadapan dengan pandemik global COVID-19 yang mendedahkan rapuhnya rantaian bekalan tempatan farmaseutikal dan peralatan perubatan kritikal atas sebab kekangan kapasiti dan keupayaan industri tempatan, keterjaminan dan ketersediaan rantaian bekalan juga merupakan fokus utama KKM.
"Dalam pada itu, KKM telah mengorak langkah meneliti dan mengkaji semula dasar dan proses perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan yang menekankan kepada sistem tatakelola pentadbiran yang utuh dengan mengambil kira prinsip ketelusan, memudah cara perniagaan, persaingan secara adil dan nilai pulangan terbaik dalam perolehan kerajaan," menurut KKM. - BERNAMA
#Kementerian Kesihatan #pakatan harga #antipersaingan #perolehan ubat
;