KKM tidak pernah perakui produk, makanan boleh ganti ubatan

Bernama
April 19, 2022 21:57 MYT
KKM berkata laman Facebook Myspringshop-US cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa penjualan produk teh mereka diiktiraf oleh kementerian berkenaan. - KKM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah memperakui mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah.
Perkara itu dimaklumkan KKM menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini bagi menjelaskan tindakan sebuah laman Facebook Myspringshop-US yang cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa penjualan produk teh mereka diiktiraf oleh kementerian berkenaan.
"Gambar yang digunakan merupakan gambar yang telah diubah suai daripada gambar asal," menurut kenyataan itu yang turut menyertakan gambar asal.
KKM juga menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya serta mahu pengusaha atau pemilik produk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan ke atas orang ramai.
-- BERNAMA
#KKM #produk makanan ganti ubat #berita palsu #Myspringshop-US
;