KKM teliti dakwaan pesakit gagal dapat rawatan tepat hingga meninggal dunia
Bernama
Ogos 1, 2023 18:54 MYT
Ogos 1, 2023 18:54 MYT
KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti dakwaan terhadap Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran, Sabah yang dikatakan gagal memberikan rawatan yang tepat kepada seorang pesakit sehingga meninggal dunia.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya perlu melakukan siasatan dan memastikan terlebih dahulu, sama ada dakwaan itu benar-benar berlaku ataupun tidak.
"Tentang kes Tuaran, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sudah keluarkan kenyataan... Kita akan teliti apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.
"JKNS juga akan bertemu dengan keluarga mangsa. Dari semasa ke semasa, kita akan beri kenyataan tentang apa yang sebenarnya berlaku," katanya ketika ditemui media semasa membantu kempen calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu Azan Ismail, di Bukit Kecil di sini, hari ini.
Zaliha berkata setakat ini, pihaknya tidak dapat lagi memberikan apa-apa penjelasan teperinci, namun tidak menolak begitu sahaja dakwaan tersebut kerana aduan telah dibuat oleh keluarga mangsa sendiri.
Beberapa hari lepas, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pesakit yang dibenarkan pulang, selepas dikatakan tidak mengalami masalah kesihatan serius oleh hospital berkenaan, sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau yang melawat keluarga mangsa berkata beliau dimaklumkan bahawa, pihak hospital mendapati tiada masalah serius dan membenarkannya pulang selepas menjalani pemeriksaan.
Beliau dilaporkan berkata, sebelum itu pesakit terbabit dibawa ke Hospital Tuaran yang terletak berdekatan rumahnya, selepas mengalami rasa sakit akibat terjatuh.
-- BERNAMA