KKM tawar 4,914 jawatan tetap mulai hari ini - Dr Zaliha

Umavathi Ramayah
Januari 6, 2023 10:15 MYT
Dr Zaliha berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di Putrajaya hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan penawaran 4,914 kekosongan jawatan tetap bagi tahun ini.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, ia merangkumi 4,263 jawatan bagi pegawai perubatan, pegawai pergigian (335) dan pegawai farmasi (316).
Menurutnya, permohonan itu dibuka bermula hari ini sehingga 21 Jan depan dan boleh dipohon menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.
“Saya berharap calon yang layak dapat mengisi permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap dan betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini, hari ini.
Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak dan akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Dr Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi tahun ini berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.
Bagi tahun ini, katanya KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi, antaranya Hospital Pendang (Kedah) dan Hospital Kemaman (Terengganu).
“Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
#Zaliha Mustafa #jawatan tetap #Kementerian Kesihatan #kekosongan jawatan
;