KKM tanggung RM1.77 juta berikutan dewan bedah HPP belum siap
Bernama
Ogos 5, 2018 04:55 MYT
Ogos 5, 2018 04:55 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) terpaksa menanggung kos tambahan RM1.77 juta berikutan dewan bedah di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dalam proses naik taraf masih belum siap sepenuhnya.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kos tambahan itu adalah bagi menampung operasi perbelanjaan pembedahan termasuk membayar kerja lebih masa kepada petugas berikutan terpaksa menjalankan pembedahan pada hari Sabtu bagi mengatasi kesesakan pesakit menjalani pembedahan.
"Berikutan itu, kami terpaksa lanjutkan pembedahan pada Sabtu sehingga pukul 6 petang di HPP serta di Hospital Kepala Batas berbanding sebelum ini hanya hari bekerja sahaja dan KKM bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1.77 juta untuk tampung kos operasi perbelanjaan pembedahan pada hari Sabtu," katanya.
Projek naik taraf itu bermula Feb 2016 dan sepatutnya siap Feb tahun ini namun terpaksa dilanjutkan sehingga Disember ini berikutan kelewatan pihak kontraktor dan konsultan, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan serta mendengar taklimat berhubung perkembangan projek naik taraf itu di sini pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Wan Mansor Hamzah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang Ir Shahabuddin Mohd Muhayidin.
-- BERNAMA
#dewan bedah
#Dzulkefly Ahmad
#Hospital Pulau Pinang
#HPP
#Kementerian Kesihatan
#kerja lebih masa
#kesesakan
#kos tambahan
#naik taraf
#operasi
#Pembedahan
#perbelanjaan
#pesakit
#rawatan perubatan