KKM sudah kemuka tarikh buka sempadan negara - Khairy
Ridauddin Daud
Februari 24, 2022 18:55 MYT
Februari 24, 2022 18:55 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengemukakan cadangan tarikh untuk pembukaan semula sempadan negara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tarikh tersebut akan diumumkan oleh Ismail Sabri.
Begitupun, beliau tidak memperincikan bilakah tarikh sempadan akan dibuka dan bilakah pengumuman tersebut akan dibuat.
“Perdana Menteri akan umumkan tarikh pembukaan semula sempadan negara.
“Kita sudah ada tarikhnya dan kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk umumkannya,” jawabnya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu pada sidang media KKM di Putrajaya pada Khamis.
Perdana Menteri dalam rangka lawatannya ke Kemboja, dilapor memberi jaminan kepada rakyat Malaysia di negara itu bahawa Malaysia akan membuka sempadannya tidak lama lagi.
Menurutnya, pembukaan itu pastinya akan memudahkan proses perjalanan terutama bagi mereka yang menetap di luar negara.
Katanya, varian Omicron telah menyebabkan rancangan negara untuk beralih ke peringkat endemik tertangguh, sekali gus melambatkan proses pembukaan sempadan.
Sebelum itu, Astro AWANI melaporkan kerajaan akan mengumumkan pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat dan KKM kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan itu.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berharap SOP tersebut akan memberikan sedikit kelonggaran kerana kelewatan membuka sempadan memberi kesan kepada negara.
Jelasnya, negara akan terus mengalami kerugian sekiranya sempadan masih belum dibuka dan beliau berpendapat pembukaan sempadan harus dipercepatkan.
Mengambil contoh Australia, Muhyiddin berkata negara itu terkebelakang dari segi vaksinasi berbanding Malaysia namun negara itu sudah membuka sempadannya pada Isnin.