KKM siasat penularan isu kematian kakitangan dikaitkan vaksin di media sosial

Bernama
April 21, 2021 18:57 MYT
Menurut kenyataan Bahagian Regulatori Farmasi Negara hari ini, makluman akan diberikan kepada umum selepas siasatan selesai. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat penularan isu kematian beberapa kakitangannya yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 di media sosial.
Menurut kenyataan Bahagian Regulatori Farmasi Negara hari ini, makluman akan diberikan kepada umum selepas siasatan selesai.
"Setakat ini, tiada laporan kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19 dilaporkan," katanya.
Kenyataan tersebut memaklumkan sehubungan itu, pihak KKM meminta orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak dikenal pasti sumber dan kebenarannya.
Katanya sebarang penyebaran atau perkongsian akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Orang ramai diminta merujuk semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons (CPRC) di setiap negeri atau talian 03-8881 0200/03-8881 0600/03-8881 0700 atau melayari laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my bagi mendapatkan info sahih berkaitan COVID-19.
-- BERNAMA
#KKM #COVID-19 #vaksin #siasatan #kesihatan #media sosial
;