KKM siasat kes doktor pukul bekas isteri, bapa mentua

Dewi Nur Harasha Alias
September 15, 2019 18:36 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mangsa dan bekas suaminya bertugas sebagai doktor dan sebarang tindakan berhubung perbuatan itu akan dibuat selepas semua siasatan selesai. - Gambar fail/BERNAMA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang doktor yang bertindak memukul bekas isteri dan juga bapa mentuanya dalam kejadian di Jalan Utarid, Sungai Buloh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mangsa dan bekas suaminya bertugas sebagai doktor dan sebarang tindakan berhubung perbuatan itu akan dibuat selepas semua siasatan selesai.
"Dia dalam siasatan pihak polis... sebelum ada tindakan kita kena siasat dulu. Kita belum pasti, kita sedang buat siasatan," katanya ketika diminta mengulas mengenai kes tersebut.
Kes berkenaan tular di media sosial selepas video seorang doktor wanita cedera di kepala dipukul bekas suami yang juga seorang doktor.
Difahamkan wanita itu dipukul kerana bekas suaminya tidak berpuas hati dengan mangsa berkaitan hak penjagaan anak yang masih berjalan di mahkamah.
Lelaki itu juga turut memukul kepala bapa mangsa ketika dalam perjalan pulang dari mahkamah.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan lelaki berkenaan pada 9 September lepas namun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
#doktor pukul isteri #doktor wanita #Dr Dzulkefly Ahmad #Jalan Utarid #Kementerian Kesihatan Malaysia #KKM
;