KKM siasat kematian Dea Maisarah, dakwaan kecuaian di Hospital Melaka, KK di Bentong

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 18, 2023 14:48 MYT
Dr Zaliha berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis dan pihaknya dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang komen buat masa ini. - Gambar fail
BAYAN LEPAS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan dalaman kes kematian Dea Maisarah Bada, 10, yang didakwa akibat kecuaian di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, baru-baru ini.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata siasatan dalaman itu dibuat bagi mengetahui lebih lanjut dan terperinci berhubung kejadian sebenar insiden berkenaan yang telah tular sejak beberapa hari lepas itu.
"Sebenarnya seperti saya sebut sebelum ini kes itu telah dibawa ke siasatan pihak polis dan kita (KKM) juga beri sepenuhnya kepada polis untuk lakukan siasatan, malah kami juga dinasihatkan untuk tidak memberi atau mengeluarkan sebarang komen sehingga siasatan selesai.
"Namun, kami sendiri menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui lebih lanjut dan apa jua secara terperinci berhubung kes itu dengan memanggil pihak berkaitan, ini ialah prosedur biasa dan kita sedang jalankan siasatan dalaman itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (HBP) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bapa Dea Maisarah, Bada Hussein, 48, membuat laporan polis berhubung pengelasan kematian iaitu ‘Brought in Dead’ (BID) dalam sijil atau permit pengebumian adalah palsu dan tidak benar.
Bada dilaporkan berkata, anaknya masih hidup ketika dihantar ke hospital berkenaan dengan dia mempunyai bukti termasuk resit pembayaran dan berharap pihak berkuasa menyiasat berhubung pengelasan kematian BID itu.
Terdahulu, media melaporkan Dea Maisarah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaliha berkata, KKM juga menyiasat dakwaan berlaku kecuaian membabitkan dua buah hospital di Melaka dan Pahang.
Katanya, setiap aduan yang diterima akan disiasat dengan teliti namun bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medicolegal’ kerana kadangkala ia disebabkan prosedur biasa.
Beliau berkata, semua siasatan yang dijalankan adalah prosedur biasa untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung sesuatu kes.
"Bukan semua kes sebenarnya boleh diletakkan di bawah 'medicolegal'... kadang- kadang ia juga disebabkan prosedur biasa macam contoh kalau bengkak tangan akibat daripada prosedur suntikan... itu kita anggap biasa.
"Biasanya kita akan beri rawatan sepatutnya untuk pesakit... kedua-dua disiasat juga secara dalaman... kalau ada aduan memang kita akan buat siasatan... itu prosedur biasa," katanya.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki mendakwa tangan anak saudaranya berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM) baru-baru ini.
Susulan itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem menggesa pihak Hospital Melaka menyiasat dakwaan terbabit.
Sementara itu, media turut melaporkan, insiden seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) berusia dua tahun enam bulan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Susulan itu, seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak terbabit bertindak menzahirkan perasaan kecewa melalui Facebook, terhadap sebuah klinik kesihatan di Bentong yang didakwa gagal mengesan tanda awal penyakit anaknya ketika mendapatkan rawatan di fasiliti berkenaan.
Wanita itu mendakwa, petugas di klinik kesihatan berkenaan hanya memberi preskripsi tiga peket ubat air garam bagi kemungkinan berlaku keracunan makanan, selepas memeriksa kulit, perut dan suhu badan anaknya.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) Datuk Dr Nor Azimi Yunus dalam kenyataan memberitahu, punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan.
#Dea Maisarah #KKM #Dr Zaliha Mustafa #status siasatan
;