KKM siasat dakwaan wujud kempen saringan darah palsu perdaya warga emas - Khairy

Bernama
Mei 8, 2022 17:09 MYT
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pihak terbabit. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan wujud kempen saringan darah palsu bermotifkan penjualan produk kesihatan tambahan yang menyasarkan golongan warga emas.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pihak terbabit.
"Sebarang kempen kalau dikenal pasti palsu, kita mesti siasat segera dan kenakan tindakan sewajarnya. Tindakan undang-undang adalah di bawah bidang kuasa PDRM.
"Kita tidak mahu rakyat terutama golongan warga emas jadi mangsa dan terpedaya dengan kempen seumpama ini," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas sebuah akhbar tempatan tentang kegiatan ejen jualan langsung yang menganjurkan kempen saringan darah di Lembah Klang bagi memperdaya golongan warga emas untuk membeli produk makanan kesihatan tambahan keluaran syarikat terbabit.
-- BERNAMA
#KKM #kempen saringan darah palsu #warga emas #produk kesihatan #Kementerian Kesihatan #PDRM #Khairy Jamaluddin
;