KKM siasat dakwaan individu disuntik picagari kosong
Sinar Harian
Julai 9, 2021 19:18 MYT
Julai 9, 2021 19:18 MYT
LARUT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung individu yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin COVID-19 di Selangor, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya turut menyiasat kesahihan beberapa video tular di media sosial yang dikaitkan dengan insiden sama.
"Di samping kita bimbang akan penularan COVID-19, kita juga bimbang dengan penularan berita palsu. Siasatan mendalam perlu dilakukan bagi memastikan sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya.
"Saya juga menerima video tular tersebut. Saya bertanya kembali kepada pengirim untuk mendapatkan maklumat berkaitan lokasi kejadian dan masa kejadian, namun tiada jawapan.
"Kes pertama adalah di Banting, Selangor dan siasatan akan dijalankan secara mendalam," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama di sini pada Jumaat.
Hadir sama ialah Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.
Noor Azmi turut tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa kejadian itu disebabkan oleh kecuaian pihak petugas kesihatan.
"Perkara itu tidak boleh terjadi kerana pemberian vaksin mempunyai kaedah iaitu setiap pemberian perlu diperiksa oleh dua atau tiga orang dalam ruang vaksinasi disediakan.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: KKM siasat dakwaan individu disuntik picagari kosong
#KKM
#Kementerian Kesihatan Malaysia
#vaksin
#COVID-19
#PPV
#video tular
#disuntik picagari kosong
#picagari kosong
#Kementerian Kesihatan