KKM sasar sifar kes kusta menjelang 2030

Bernama
Mei 12, 2024 15:00 MYT
Dr Dzulkefly ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sifar kes kusta tempatan baharu menjelang 2030, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata kumulatif kes kusta sehingga minggu epidemiology ke-18 setakat 4 Mei, mencatatkan sebanyak 66 kes di seluruh negara termasuk 24 kes di Sabah.
"Aktiviti mengesan dan merawat awal kes kusta secara bersasar di lapangan perlu dipertingkatkan, sebagai langkah untuk mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia peringkat kebangsaan, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata KKM juga turut melaksanakan pemberian rawatan profilaksis single dose rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko, sebagai langkah pencegahan penularan penyakit kusta.
Bagi penyakit tibi iaitu penyakit berjangkit melalui udara, beliau berkata dalam tempoh yang sama merekodkan sebanyak 8,856 kes termasuk 1,944 kes di Sabah.
Dr Dzulkefly berkata penyakit itu boleh sembuh dengan mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan, dengan pengambilan anti-Tibi setiap hari selama sekurang-kurangnya enam bulan.
"Salah faham tanggapan penyakit tibi akibat buatan manusia seperti santau perlu diperbetulkan," katanya dan menambah penyakit tibi tanpa rawatan, boleh menyebabkan kematian.
Dr Dzulkefly berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 120 kes jangkitan malaria manusia dan 683 jangkitan malaria zoonotik direkodkan di seluruh negara, manakala daripada jumlah itu Sabah mencatatkan lima kes jangkitan malaria manusia dan 404 kes jangkitan zoonotic.
Pada majlis itu, Dr Dzulkefly turut menyampaikan anugerah Tokoh Malaria kepada Yusof Rashman, 66, yang berasal dari Ranau.
Yusof telah berkhidmat selama 37 tahun di KKM sehingga bersara pada 2018 dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesihatan #sifar kes kusta #Dzulkefly Ahmad #penyakit tibi
;