KKM sasar bentang kertas putih kesihatan di Parlimen pertengahan tahun ini
Bernama
Januari 10, 2023 23:09 MYT
Januari 10, 2023 23:09 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pembentangan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada pertengahan tahun ini.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau meletakkan sepenuh komitmen untuk memastikan kandungan Kertas Putih itu dapat dilaksana dan direalisasikan.
"Bagi saya apa yang digariskan di dalam Kertas Putih Kesihatan sangat bertepatan dengan visi dan misi saya selaku Menteri yang menerajui suatu kementerian yang penting dan utama seperti KKM," menurutnya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.
Beliau berkata sesi perbincangan dan bertukar pandangan bersama Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan juga telah diadakan petang tadi.
"Anggota Majlis Penasihat juga menyatakan komitmen mereka untuk seiring bersama saya dalam terus memberikan pandangan sehingga impian untuk memastikan Kertas Putih ini dibentangkan di Parlimen tercapai," katanya.
Dr Zaliha berkata libat urus bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan juga akan terus dilakukan sehingga Kertas Putih Kesihatan benar-benar mantap serta sedia untuk dilaksanakan sejurus selepas pembentangan di Parlimen.
Kertas Putih Kesihatan adalah dokumen yang bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka panjang.
-- BERNAMA