KKM rancang bina kuarters tambahan di Klinik Kesihatan Sungai Asap

Astro Awani
November 24, 2020 14:33 MYT
Jelas Dr Adham, pihaknya ada perancangan menempatkan pegawai perubatan pakar ke klinik kesihatan yang dirancang namun ia tertunda kerana situasi yang melanda negara ketika ini. FOTO: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membina kuarters kediaman tambahan untuk petugas Klinik Kesihatan Sungai Asap, Belaga.
Jelas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, cadangan berkenaan akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan datang.
“Buat masa ini Klinik Kesihatan Sungai Asap mempunyai 23 buah kuarters yang menjadi kediaman bagi lebih 30 orang staf.
“Bagaimanapun bilangan kuarters kakitangan ini masih tidak mencukupi. Sehubungan itu KKM bercadang untuk membina kuarters kediaman tambahan di ruang tapak Klinik Kesihatan Sungai Asap sedia ada,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong di Dewan Rakyat.
Selain itu, wilson turut membangkitkan mengenai keperluan untuk KKM menugaskan doktor pakar keluarga di Klinik Kesihatan Sungai Asap susulan kebimbangan mengenai penularan COVID-19.
Jelas Dr Adham, pihaknya ada perancangan untuk menempatkan pegawai perubatan pakar ke klinik kesihatan yang dirancang namun ia tertunda kerana situasi yang melanda negara ketika ini.
“Memang menjadi keperluan KKM untuk menyediakan doktor dan pakar di klinik kesihatan dan untuk makluman Yang Berhormat, di Klinik Kesihatan Sungai Asap ada lima orang doktor.
“Bagaimanapun tiada doktor pakar perubatan keluarga di situ namun doktor pakar kesihatan keluarga dari daerah Kapit yang menyelia dan juga datang ke Klinik Kesihatan Sungai Asap sebulan dua kali,” tambahnya.
Ketika ini terdapat 73 petugas Kesihatan Klinik Kesihatan Sungai Asap yang memberi perkhidmatan kepada 13,056 penduduk di kawasan operasinya.
#Klinik Kesihatan Sungai Asap #penambahan kuarters #Rancangan Malaysia Ke-12 #Kementerian Kesihatan #penularan COVID-19 #doktor pakar di Kapit #fasiliti kesihatan di Belaga #Sidang Dewan Rakyat #Parlimen
;