KKM peruntuk RM9.3 juta baik pulih 38 klinik daif di Kelantan

Bernama
Mac 11, 2023 18:13 MYT
Lukanisman Awang Sauni berkata peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2023 bagi mengurangkan kesesakan di hospital. -Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM9.3 juta bagi tujuan baik pulih dan menaik taraf 38 klinik kesihatan yang daif di Kelantan tahun ini.
Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni berkata peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2023 bagi mengurangkan kesesakan di hospital.
"Projek baik pulih klinik daif ini dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat awal penjagaan kesihatan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerana rawatan awal dan ringan dapat dibuat di klinik kesihatan terlebih dahulu.
"Peruntukan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, selain memberi manfaat dan menjaga kebajikan rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah di sini hari ini.
Bangunan tambahan itu yang memulakan pembinaannya pada 2018 dengan kos RM153.2 juta, dijangka beroperasi pada 1 Mei depan secara berfasa dengan lebih 400,000 penduduk di sekitarnya bakal menerima manfaat itu.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) terdapat empat lagi projek fasiliti kesihatan di Kelantan bakal disiapkan pada April tahun ini.
"Empat projek itu adalah dua di Kuala Krai iaitu Klinik Kesihatan Karangan; Klinik Kesihatan dan Kuarters Peria, manakala masing-masing satu di Machang dan Tanah Merah iaitu Klinik Kesihatan dan Kuarters Mata Ayer; Klinik Kesihatan dan Kuarters Sokor.
"Selain itu, Hospital Bachok pula dijangka siap pembinaannya pada Oktober depan dan akan dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2024," katanya.
-- BERNAMA
#KKM #JKR #Klinik kesihatan #Lukanisman Awang Sauni
;