KKM perjelas video lama KJ yang kembali tular
Astro Awani
Januari 29, 2022 00:00 MYT
Januari 29, 2022 00:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberi penjelasan mengenai video lama yang kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan video berkenaan dirakamkan pada 20 September tahun lalu semasa lawatan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ke KLIA dan ketika itu negara belum lagi melaksanakan pemberian suntikan booster.
“Pada waktu itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan. Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6%, masih belum mencapai sasaran 90% populasi dewasa.
"Aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” jelas kenyataan itu.
Video berkenaan kembali tular sejak Sabtu lantas mengundang salah faham orang ramai.
KKM turut mengulangi bahawa pemberian suntikan booster dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan pada ketika itu kepada golongan rentan terdiri dari warga emas, mereka yang ada komorbid dan golongan yang terdedah kepada rsiko jangkitan.