KKM periksa 7,677 premis makanan sepanjang Januari lepas, 256 diarah tutup sementara
Bernama
Februari 16, 2024 17:45 MYT
Februari 16, 2024 17:45 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah memeriksa 7,677 premis makanan menerusi tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 sepanjang Januari lepas dan 256 premis atau 3.33 peratus daripadanya telah dikenakan arahan penutupan sementara di bawah Seksyen 11 akta sama.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai langkah menjamin kebersihan premis dan makanan yang dihidangkan.
Beliau berkata melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi dalam tempoh itu juga 2,917 tawaran kompaun bernilai RM1.45 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun.
"Sejumlah 431 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 75 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM143,350," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sejumlah 13,526 notis kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Januari lepas hasil lawatan ke 25,257 premis, dan 5,059 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran lebih RM1.2 juta.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil KKM, justeru orang ramai dan semua pihak diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
-- BERNAMA