KKM perhalus beri suntikan vaksin influenza percuma buat warga emas

Ehsan A Marisah
September 7, 2022 16:37 MYT
Noor Azmi (empat dari kiri) pada majlis pelancaran kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 tahun anjuran Program Immunise4life (IFL). - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhalusi cadangan pemberian suntikan vaksin influenza secara percuma kepada kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas seperti yang dilakukan di kebanyakan negara lain.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia merupakan sebahagian usaha pihaknya ke arah persediaan Malaysia menghadapi negara menua pada 2030.
“Cadangan memberi suntikan percuma bagus untuk memudahkan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas itu (mendapatkan suntikan).
“Perkara ini penting, jika kita lihat golongan ini tidak ramai di Malaysia, mungkin kita akan fikirkan (pertimbangkan percuma) dan akan dibawa ke dalam mesyuarat KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen Mencegah Influenza Pada Usia Menjangkau 65 tahun anjuran Program Immunise4life (IFL) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Azmi menambah, pihaknya turut meletakkan agenda negara menua sebagai salah satu fokus dalam Kertas Putih Kesihatan.
Katanya, negara sedang menuju populasi penuaan pada 2030 dan peratusannya dijangka meningkat 14.3 peratus, iaitu 5.2 juta berbanding 3.5 juta atau tujuh peratus golongan 65 tahun ke atas daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia.
“Macam saya sebut, pentingnya kita wujudkan lebih ramai pakar geriatrik dan lebih banyak fasiliti untuk menjaga orang dewasa.
“Terkini dalam Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI), kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang tidak membuat saringan kesihatan sejak tiga tahun, kita galakkan untuk pergi ke klinik kesihatan sama ada dengan tempahan atau walk-in untuk ketahui kedudukan kesihatan kita,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, Prof Dr Zulkifli Ismail berkata, suntikan vaksin influenza dilihat amat penting dalam mengurangkan jangkitan menjadi lebih teruk.
“Kalau warga emas ini ada penyakit seperti jantung dan diabetes, ini akan membuatkan pesakit lebih teruk dan susah untuk mengawalnya.
“Itulah sebabnya kita ingin memfokuskan kepada warga emas untuk mereka sendiri mengambil suntikan vaksin tersebut,” ujarnya lagi.
#KKM #vaksin influenza #warga emas #Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
;