KKM pastikan kekurangan ubat tidak berlaku - Dr Subramaniam
Bernama
November 11, 2017 10:48 MYT
November 11, 2017 10:48 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memastikan kekurangan bekalan ubat tidak berlaku dengan mengarahkan setiap hospital dan klinik membuat perancangan pengurusan yang sistematik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihak hospital dan klinik perlu meramal keperluan ubat-ubatan di tempat mereka supaya kementerian dapat membantu sekiranya terdapat isu kekurangan bekalan itu.
Menurut beliau, masalah kekurangan ubat berlaku di sesetengah hospital atau klinik berikutan perancangan yang kurang tepat terhadap perkara itu.
"Kadang-kadang menjelang hujung tahun perancangan di sesebuah hospital tidak berapa tepat jadi tidak mustahil bekalan ubat akan menurun.
"Kalau keadaan itu berlaku, kami boleh pindahkan bekalan dari sebuah hospital ke hospital lain atau kalau mereka tahu mungkin dua bulan sebelum habis, kementerian boleh sediakan ubat tambahan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Ke-81 Persatuan Hakka Segamat di sini, malam ini.
Dr Subramaniam berkata masalah kekurangan ubat berlaku disebabkan tambahan jumlah pesakit di sesebuah hospital selain kementerian tidak mahu pembaziran bekalan itu jika membekalkan ubat untuk tempoh yang terlalu lama.
"Contoh di Hospital Segamat dulu tiada pakar masa itu ramai orang tak mahu pergi, tetapi sekarang bila sudah ada ramai pakar maka ramai orang pergi sehingga ada kalanya tidak cukup katil.
"Masalah kekurangan ubat ini bukanlah serius kerana jika dahulu kami sediakan bekalan untuk tempoh enam bulan tetapi sekarang tiga bulan kerana jika tidak digunakan sehingga tarikh luput akan berlaku pembaziran," katanya.
-- BERNAMA