KKM pandang serius isu kurma dihurung lipas, kumbang

Bernama
Mei 27, 2017 18:59 MYT
Pengguna disaran membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelakkan memakan makanan yang telah rosak atau tercemar. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berita yang menular di laman media sosial berkaitan buah kurma yang tercemar dengan lipas dan kumbang.
KKM memandang serius berhubung isu berkenaan dan akan meningkatkan pemantauan ke atas produk kurma di pasaran tempatan serta di pintu masuk bagi memastikan makanan berkenaan adalah selamat.
Di samping itu, KKM ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak dan kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan yang dibeli adalah bersih dan selamat.
Pengguna juga disaran membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelakkan memakan makanan yang telah rosak atau tercemar.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.
--BERNAMA
#Dr Noor Hisham Abdullah #jabatan kesihatan #kebersihan #Kementerian Kesihatan #KKM #kumbang #kurma #lipas
;