KKM, pakar kaji sakit dideritai Kazim Elias

Sinar Harian
Jun 9, 2022 08:30 MYT
Mohd Kazim Elias menderita sakit sejak lapan bulan lalu yang menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias memaklumkan beberapa pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan universiti tempatan telah tampil untuk membantu mengkaji dan mengenal pasti penyakit misteri yang dideritainya kini.
Menurutnya, pakar dari Institut Penyelidikan Perubatan, KKM telah datang bertemunya pada Rabu dan beliau dijadualkan bertemu dengan pakar patologi kulit dari Universiti Putra Malaysia pada Khamis.
“Mereka akan membuat biopsi untuk kenal pasti jenis penyakit saya dan kaji apa sebenarnya yang berlaku. Sebelum ini saya sudah berjumpa dengan lapan doktor pakar dan pakar kulit menyatakan hanya sakit kulit biasa dan akan hilang apabila pakai krim.
“Tetapi, sehingga sekarang sakit saya tidak sembuh. Mereka mengikuti perkembangan saya dan ambil keputusan untuk bantu dengan membuat biopsi untuk kenal pasti penyakit ini.
“Selain mereka, ada beberapa pihak lagi yang datang menghulurkan bantuan termasuk daripada persatuan doktor dan individu-individu lain yang ingin turut sama membantu. Saya bersyukur kerana ada pihak yang tampil membantu pada saat saya terbuka untuk berkongsi sakit yang saya deritai selama ini,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf.
Sebelum ini, Mohd Kazim telah berkongsi secara terbuka penderitaan yang dialaminya sejak lapan bulan lalu yang menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan rasa sakit, gatal dan pedih, malah membuatkan beliau gelisah hingga tidak boleh tidur seharian sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Kazim menyatakan, tidak salah untuk golongan pendakwah terlibat dengan bidang seni, termasuk berlakon di dalam drama dan filem.
Jelasnya, golongan ustaz, asatizah dan agamawan perlu ‘lawan’ dan masuk ke dunia lakonan jika ingin memahami dan pada masa sama berdakwah, namun ia perlulah bersyarat.
“Kalau kita tak buat, selama-lamanya akan macam itu. Kita kena lawan, kena masuk tetapi kena buat syarat. Begitu jugalah dengan berlakon. Kalau ustaz, asatizah, agamawan tidak buat filem, tidak berlakon dan tidak bercampur dalam filem, selama-lamanya orang akan jadi macam itu.
“Saya terlibat dengan filem, drama dan sitkom, saya tahu keadaan krew. Jadi, bila saya nak berlakon, saya letakkan syarat tertentu seperti pelakon wanita Islam memakai tudung. Maknanya, kita yang meletakkan syarat.
“Saya pernah berlakon cameo dalam satu filem. Ada satu babak dalam van dan ada pelakon perempuan. Bagaimana kita nak dakwah? Saya secara spontan bertanya, ‘Yah, kamu tu bila nak bertudung?’ Dalam situasi itu, saya tetap berdakwah,” jelasnya.
Tambahnya, tiada gunanya jika kita hanya pandai mengutuk dan menghukum, sebaliknya perlu mengambil pendekatan menasihati dan berdakwah.
“Apa yang haram, tetap haram. Jadi, pendakwah yang berlakon ini kena jaga ikhtilat dan hukum. Mereka boleh buat syarat tetapi kalau orang tu tak nak tutup (pakai tudung), kita nak kata apa. Kita tak boleh nak paksa. Hanya ALLAH Taala sahaja yang tahu apa niat dan alasannya,” ujar beliau.
* Artikel asal di Sinar Harian
#KKM #Ustaz Kazim Elias #penyakit misteri #pakar
;