KKM nafi remaja menyamar doktor rawat pesakit
Sinar Harian
Ogos 15, 2024 13:30 MYT
Ogos 15, 2024 13:30 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan remaja 14 tahun yang menceroboh Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, baru-baru ini melakukan prosedur kepada pesakit ketika penyamaran.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sebaliknya remaja perempuan yang menyamar sebagai doktor itu didapati bergerak di dalam fasiliti hospital.
"Dia tidak mempunyai kemahiran dan penyamar itu memang bergerak ke sana sini dalam fasiliti," katanya ketika ditemui media selepas taklimat media berkaitan kesihatan mental dan pelaporan media selamat serta bertanggungjawab di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan remaja terbabit melakukan prosedur kesihatan kepada pesakit.
Remaja berkenaan yang kini berada dalam tahanan reman telah ditahan di lobi hospital jam 9 pagi ketika cuba mendaftar di kaunter dengan menggunakan identiti palsu, minggu lalu.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Lukanisman berkata, kebocoran siling di luar bangunan kecemasan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Miri telah diselesaikan.
Ujarnya, hospital berkenaan masih di dalam tempoh liability kecacatan (DLD) dan dibaik pulih oleh kontraktor.
"Hospital ini belum beroperasi sepenuhnya dan ia hanya melibatkan bahagian luar jabatan kecemasan.
"Bahagian dalam di setiap lapan tingkat tidak mempunyai sebarang kerosakan," katanya.
Kejadian kebocoran siling di luar bangunan kecemasan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Miri Ahad lalu berpunca daripada kegagalan sambungan paip buangan air.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, situasi itu menyebabkan paip tidak mampu menampung jumlah air yang banyak akibat hujan lebat. -- Sinar Harian