KKM nafi muat naik borang soal selidik sistem pendidikan satu aliran
Astro Awani
September 30, 2015 12:03 MYT
September 30, 2015 12:03 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia menafikan memuat naik borang soal selidik atas talian meminta pengguna internet memberi respon mengenai keperluan sistem pendidikan satu aliran.
Borang soal selidik yang diterbitkan melalui 'Google Forms' itu dilihat menggunakan logo Bahagian Maklumat di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Memetik laporan The Star Online, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan pembabitan Kementeriannya dalam hal itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata beliau menghubungi Salleh untuk mendapatkan penjelasan pada Selasa.
"Beliau sudah bertanyakan Ketua Pegarah Bahagian yang juga menafikan pihaknya menerbitkan dokumen tersebut.
"Beliau juga berjanji bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas perkara ini," Wee berkata dalam satu kenyataan.
Wee berkata Salleh juga tidak bersetuju ke atas 'soal selidik' itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
"Saya menggesa pihak Kementerian untuk mengenalpasti orang yang muat naik soal selidik itu dan mengambil tindakan terhadapnya," katanya sambil mengingatkan orang ramai bahawa hak untuk pendidikan bahasa ibunda telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Tiada sesiapa pun dibenarkan mencabar sistem pendidikan pelbagai aliran. MCA tidak akan berkompromi dalam perkara ini," tegasnya.
Ujar Wee, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan membawa perkara ini ke kabinet atau berbincang bersama Salleh.
#borang soal selidik
#Googe Forms
#Liow Tiong Lai
#Salleh Said Keruak
#satu aliran
#sistem pendidikan
#Wee Ka Siong