KKM nafi kecam lagu APT nyanyian Rose Blackpink, Bruno Mars

Afiezy Azaman
Oktober 29, 2024 12:15 MYT
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi KKM bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai perkara berkaitan kesihatan awam.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan Kerajaan Malaysia ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung lagu bertajuk 'APT' nyanyian Rose Blackpink dan Bruno Mars seperti dakwaan sebuah artikel terbitan portal hiburan Koreaboo semalam.
Dalam satu kenyataan menerusi laman sosial X hari ini, KKM menjelaskan, sebarang kenyataan berhubung artikel yang dikaitkan dengan KKM itu tidak dikeluarkan atau dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia.
"Sehubungan itu, KKM ingin menekankan bahawa penyiaran itu dibuat oleh sebuah entiti yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kementerian.
"Sila berhati-hati dengan maklumat yang tidak disahkan yang berlegar dalam talian, kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan salah maklumat dalam kalangan orang awam.
"Oleh itu, kementerian menggalakkan orang ramai untuk bergantung pada saluran rasmi KKM bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai perkara berkaitan kesihatan awam," katanya.

The Ministry of Health (MOH) Malaysia wishes to clarify that any statements regarding this article attributed to MOH have not been issued or authorized by the Government of Malaysia. In this regard, we would like to highlight that the posting was made by an entity which is not https://t.co/dQ6asSLC8j

— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) October 29, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Isnin, portal hiburan Koreaboo menerbitkan sebuah artikel mendakwa KKM mengecam lagu APT.
Artikel itu berulang kali mendakwa KKM menggambarkan lagu itu sebagai tidak bermoral dan berpotensi memudaratkan kepada pendengar muda kerana ia membayangkan tingkah laku rambang.
Portal Koreaboo dipercayai mengambil kenyataan berkenaan daripada halaman Facebook Public Health Malaysia yang sebenarnya bukan sebahagian daripada KKM.
Sebaliknya, ia adalah platform yang digunakan untuk menyebarkan maklumat dan kemas kini berkaitan kesihatan awam, memfokuskan pada perlindungan dan promosi kesihatan di Malaysia.
#Kementerian Kesihatan #lagu Blackpink #Bruno Mars #lagu APT
;