KKM nafi edar notis periksa alat kelamin pelajar
Sinar Harian
Jun 1, 2023 22:21 MYT
Jun 1, 2023 22:21 MYT
IPOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan ada menjalankan pemeriksaan alat kelamin pelajar lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak sepertimana tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan di Twitter, KKM memaklumkan, notis edaran yang tertera kepala surat kementerian dan tandatangan Pengarah Bahagian Penyakit Kelamin Berjangkit Cawangan Perak itu adalah palsu.
"Untuk makluman, KKM tidak memiliki cawangan Bahagian Penyakit Kelamin Berjangkit seperti yang ditularkan.
"KKM juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat seperti yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab itu," katanya.
Menerusi ciapan sama, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai atau menghebahkan maklumat yang tidak sah.
Katanya, perkara sedemikian boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Kami menasihati semua pihak berhati-hati dalam menyebarkan informasi dan sentiasa memastikan kebenarannya sebelum dihebahkan," katanya.
Pada Khamis, tular di media sosial mendakwa KKM akan melakukan pemeriksaan alat kelamin membabitkan pelajar di IPT awam dan swasta.
Dalam notis berkenaan, pemeriksaan itu dikatakan bagi membasmi penyakit kelamin akibat wabak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang melanda negara.