KKM, MOSTI diarah guna bekalan vaksin sedia ada jika tempahan lewat tiba

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 29, 2021 10:15 MYT
Perdana Menteri (kiri) menyaksikan pemberian suntikan vaksin COVID-19 oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim kepada penerima vaksin ke 1 juta dos, Zamratulazmi Sarmadi, di PPV WTCKL hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diarah menggunakan bekalan vaksin COVID-19 sedia ada dalam negara dan tidak menunggu sehingga tempahan vaksin tertentu tiba.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ia bagi memastikan urusan dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada rakyat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Kalau yang kita membeli daripada vaksin lain dan tidak sampai atas alasan tidak boleh dibekalkan, maka kita terus tukarkan kepada vaksin yang dah ada.
“Saya tidak mahu ada kelewatan kerana hendak menunggu kepada vaksin yang dijanjikan kepada kita untuk dibekalkan tetapi akhirnya mereka lewat. Akhirnya rakyat kita menjadi mangsanya,” kata Perdana Menteri pada Rabu selepas menyaksikan suntikan kesejuta di PPV WTCKL.
[TERKINI] PPV WTC KL capai 1 juta dos pemberian vaksin COVID-19
Jelasnya ketika ini negara sudah mencapai tahap vaksinasi yang begitu baik dan tidak sewajarnya momentum pemberian tersebut perlahan akibat masalah kelewatan bekalan.
Malah setakat Sabtu kadar pemberian vaksin menunjukkan negara telah mencapai 61.9 peratus atau lebih 14.5 juta individu daripada populasi dewasa di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
Manakala penerima dos pertama pula adalah sebanyak 82.2 peratus atau lebih 19.2 juta orang.
Ini bermakna 44.4 peratus daripada rakyat Malaysia sudah lengkap mendapatkan vaksin, sementara 58.9 peratus lagi populasi negara sudah mendapatkan suntikan dos pertama.
Bagaimanapun jelas Perdana Menteri terdapat enam lagi negeri yang belum mencapai tahap 50 peratus namun beliau yakin mampu diatasi sebelum hujung September ini.
Ia membabitkan Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah.
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #PPV #program vaksinasi