KKM masih pantau laporan wabak H7N9 di Malaysia

Aizat Sharif
April 2, 2013 23:35 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih memantau dengan rapi laporan mengenai wabak selsema H7N9 di negara China.
Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga Selasa ini tiada amaran dikeluarkan.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM bekerjasama dengan rapat dalam memantau wabak ini dari menular ke negara ini. Disamping itu juga, kita telah bekerjasama dengan Jabatan Veterinar Malaysia dan sehingga kini tiada kes dilaporkan melibatkan wabak selsema H7N9 dikesan di Malaysia,” kata beliau.
Sehingga kini, dua orang dilaporkan mati seorang dalam keadaan kritikal akibat jangkitan wabak selsema H7N9 di China.
Sampel darah telah pun diambil dari ketiga-tiga mangsa berkenaan dan mendapati ianya dijangkiti virus influenza H7N9 dan sehingga kini puncanya jangkitannya masih belum diketahui.
Dalam masa yang sama, empat lagi orang di negara China dilaporkan telah dijangkiti oleh wabak selsema burung yang menjadikan jumlah keseluruhan orang yang menghidapi wabak tersebut kepada tujuh orang.
Menurut biro kesihatan di bahagian timur Jiangsu, tiga wanita dan seorang lelaki telah menghidap wabak selsema avian H7N9.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cuba meredakan kebimbangan orang ramai mengenai ancaman selsema burung yang telah meragut dua nyawa di China setakat ini. Kata WHO adalah penting bagi mereka untuk mencari jawapan dengan segera bagaimana virus itu mampu menjangkiti manusia.
“Ianya pertama kali wabak H7N9 ini ditemui pada manusia,” kata jurucakap agensi kesihatan PBB, Fadela Chaib kepada wartawan, yang merujuk siri kematian itu kepada selsema avian.
“WHO dan kita akan merujuk juga kepada pihak berkuasa kesihatan China untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wabak ini. Sehingga kini, wabak ini hanya terdapat tiga kes sahaja dan tiada jangkitan antara manusia dengan manusia dilaporkan,” tambah beliau lagi.
#Datuk Dr Noor Hisham Abdullah #H7N9 #Influenza #KKM #wabak selsema #WHO