KKM mantapkan pemantauan kuarantin di rumah
Astro Awani
Januari 19, 2021 19:50 MYT
Januari 19, 2021 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantapkan pemantauan kuarantin atau pengasingan diri di rumah ke atas pesakit yang berisiko rendah dan tidak bergejala.
Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementeriannya juga akan melihat kesesuaian kediaman sebelum memutuskan pesakit dibenarkan menjalani proses pengasingan diri di rumah.
"Kita akan mantapkan pemantauan di rumah, yang positif kepada kesesuaian rumah tersebut. Kalau PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan (kediaman) yang tidak sesuai, walau risiko rendah dan tidak bergejala, kita nasihatkan pesakit itu pergi ke MAEPS.
"Kalau rumah itu sesuai, kita nasihatkan mereka duduk di rumah dan ada bilik air, amalkan penjarakan, menjauhi ahli keluarga, patuh SOP, cuci tangan dan amalkan penjarakan soaial, serta pastikan tidak ada pelawat," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Ujarnya, jika tempoh kuarantin dan pengasingan diri di rumah dapat dilakukan dalam tempoh 10 hari, ia sekali gus akan dapat membantu KKM mengurangkan kesesakan di pusat-pusat kuarantin berisiko rendah dan MAEPS.
Ia berikutan, katanya, pada ketika ini, KKM sedia mempertimbang kes-kes yang tiada gejala dan tiada risiko diasingkan di rumah, namun perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
"Mereka yang menjalani kuarantin di rumah, kita syorkan mereka untuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan kita akan dapat mengesan dan pantau kes terutama kes berisiko rendah dan tiada gejala.
"Namun yang tiada gejala namun ada risiko, kita akan masukkan ke MAEPS. Kita akan jalankan penilaian risiko dan CAC akan bantu beri nasihat dan lakukan pemantauan rumah," ujarnya lagi.