KKM lulus RM350,000 tambah baik klinik kesihatan di Terengganu

Bernama
Julai 15, 2023 05:26 MYT
Dr Zaliha (dua, kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong (kiri) mengenai buku log semasa melakukan lawatan kerja ke klinik daif di Klinik Desa Pulau Bahagia, Manir hari ini. -Bernama
KUALA TERENGGANU: Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa hari ini meluluskan peruntukan RM200,000, bagi melaksanakan kerja pendawaian semula dan naik taraf sistem elektrik di empat buah klinik kesihatan yang daif, di Terengganu.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga meluluskan sejumlah RM150,000 bagi tujuan pembelian peralatan perubatan, untuk kegunaan klinik-klinik kesihatan di negeri berkenaan.
"Setelah mendengar permintaan daripada Pengarah Kesihatan Negeri (Datuk Dr. Kasemani Embong), saya bersetuju untuk luluskan segera peruntukan tersebut (RM200,000) bagi kerja naik taraf sistem elektrik di Klinik Kesihatan Seberang Takir, Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, Klinik Desa Pengadang Baru dan Klinik Desa Medan Jaya.
"Kita (KKM) bagi ini bukan untuk apa, tapi untuk kemudahan penduduk di Terengganu," katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Desa Pulau Bahagia di sini, dalam lawatannya ke projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di Terengganu hari ini.
Pada masa sama, Zaliha berkata KKM telah mengenal pasti 112 fasiliti kesihatan daif di Terengganu merangkumi Klinik Kesihatan, Klinik Desa dan Klinik Pergigian dan sehingga semalam, sebanyak 58 daripadanya telah terlibat dalam inisiatif pembaikan melibatkan peruntukan berjumlah RM8.9 juta.
"Setakat ini 21 telah siap sepenuhnya, manakala 36 buah lagi sedang dalam fasa pelaksanaan. Pembaikan selebihnya (54 buah) akan dipertimbangkan untuk dimulakan pada tahun hadapan dan 2025," katanya.
Sementara itu ditanya mengenai isu tular yang mendakwa perkhidmatan kesihatan sebuah hospital di Melaka yang dikurangkan ekoran kekurangan pegawai perubatan bulan ini, Zaliha berkata KKM ketika ini sedang dalam proses penempatan semula pegawai perubatannya di seluruh negara.
Beliau berkata KKM melalui Bahagian Sumber Manusia, telah melakukan mapping bagi mengenal pasti keperluan di setiap fasiliti kesihatan kerajaan dan Melaka juga katanya akan mendapat penempatan pegawai perubatan baharu yang sewajarnya.
"Ini hospital, ini fasiliti kesihatan. Fasiliti kesihatan kena berjalan setiap hari. Jadi tentunya KKM tidak akan benarkan fasiliti itu tidak berjalan (disebabkan masalah kekurangan pegawai perubatan). Penempatan semula memang sedang berlaku... Ia akan Insya-Allah diselaraskan dengan sebaik mungkin.
"KKM akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah jabatan pembedahan am di hospital di Melaka, telah menghentikan saringan kanser kolon dan perkhidmatan klinik secara jumpa terus, ekoran kekurangan pegawai perubatan.
-- BERNAMA
#KKM #Zaliha Mustafa #pendawaian semula #klinik kesihatan daif di Terengganu