KKM luaskan penempatan pegawai perubatan siswazah ke hospital lain
Bernama
Mei 22, 2024 12:46 MYT
Mei 22, 2024 12:46 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membuka penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital selain daripada hospital negeri.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan membuka penempatan PPS dibuat memandangkan peratus pengisian slot berkenaan bertambah baik.
"Tawaran penempatan ini dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei lepas yang melibatkan 792 orang calon," menurut kenyataan itu.
Pada awal tahun ini, KKM memutuskan supaya penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS didapati semakin rendah dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan.
Sehingga April ini, KKM telah melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS melibatkan 701 orang pada siri lantikan pertama dan 803 orang pada siri lantikan kedua.
"Bagi siri lantikan seterusnya, penempatan PPS di hospital-hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta faktor-faktor lain yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan pihaknya memahami cabaran dihadapi oleh petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja dan beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Pada Mei, KKM memaklumkan sejumlah 747 pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan siswazah ditempatkan ke semua negeri bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.
"Tujuan latihan yang diberikan kepada PPS sewaktu penempatan adalah supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi.
"Ini penting agar mereka mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat," menurut KKM.
KKM juga turut mengarahkan semua Pengarah Hospital untuk memastikan kebajikan petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian PPS di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesihatan
#Pegawai Perubatan Siswazah
#lantikan siri ketiga
#KKM
#hospital negeri
#penempatan