KKM lihat kemungkinan kerjasama penyelidikan COVID-19 dengan China
Bernama
April 10, 2020 04:59 MYT
April 10, 2020 04:59 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kemungkinan kerjasama dengan China dalam penyelidikan yang berkaitan dengan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
"Penyelidikan itu bermakna hari ini kita sedang mengkaji virus berkenaan, sama ada kita boleh asingkan virus itu. Jika kita boleh asingkan virus itu dan kita boleh buat urutan keseluruhan genomik, ia bermakna kita boleh kenal pasti virus ini.
"Jadi kita tanya diri sendiri, kerana ini adalah virus baharu, jadi tiada siapa yang telah mengenal pasti virus ini. Adakah kita sedang melihat virus ini dari Eropah, atau dari China, kita tidak tahu," katanya dalam persidangan media harian berhubung COVID-19, di sini pada Jumaat.
Mengulas lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata: "Contohnya Zika, kita tahu senarai Zika, kita ada Zika tempatan. Kita tahu genom Zika dari Brazil dan dari lain-lain negara juga. Jadi kita perlu kenal pasti virus (COVID-19), itu sebabnya kita perlu asingkannya,".
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai pasukan perubatan China yang dijangka tiba di Malaysia dalam masa dua minggu lagi untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menangani penularan COVID-19 di negara mereka.
Selain itu Dr Noor Hisham berkata, Malaysia China boleh berkongsi banyak teknik ujian ke atas COVID-19.
"Ini adalah peluang bagi kita untuk belajar, bekerjasama, berkongsi maklumat dan meninjau bagaimana kita boleh bekerjasama dan terus bergerak ke hadapan dalam menangani COVID-19," katanya.
Beliau berkata pada dasarnya lawatan pasukan perubatan dari China itu adalah untuk melihat prestasi hospital di Malaysia dalam menangani COVID-19.
"Mereka bukan ke sini untuk mengendalikan perkhidmatan kita. Kita akan berbincang dengan mereka mengenai cara terbaik dalam meningkatkan tahap perkhidmatan dan keefisienan hospital kita," katanya.
Dr Noor Hisham berkata yang lebih penting lagi adalah perkongsian pengalaman dengan mereka yang pernah menguruskan COVID-19 di negara mereka sendiri, dengan inisiatif-inisiatif yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini.
"Kita ingin mendengar dan belajar dari mereka. Mungkin mereka juga boleh belajar sesuatu dari kita," katanya.
-- BERNAMA