KKM lancar MHPSS, MyMinda perkasa kesihatan mental

Afiezy Azaman
Oktober 22, 2023 10:54 MYT
Dr Zaliha merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Damansara, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial Semasa Krisis dan Bencana (MHPSS) bagi melatih tenaga perhidmatannya.
Menurut Menterinya Dr Zaliha Mustafa, modul tersebut dibangunkan untuk melatih anggota kesihatan seperti pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.
Katanya, ia susulan wujud kesedaran tentang kekangan yang dihadapi anggota profesional kesihatan mental, terutamanya ketika bencana pandemik COVID-19.
"Pada ketika ini, sekurang-kurangnya satu pasukan MHPSS diwujudkan di setiap daerah dan setiap hospital.
"Saya mengharapkan agar dengan pelancaran modul ini dapat mengukuhkan kemahiran pengurusan krisis dalam kalangan anggota kesihatan,.
"Ia sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mental dalam usaha menjayakan kempen 'Hentikan Stigma'," katanya.
Dr Zaliha berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Damansara, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, KKM turut membangunkan 'Training Module on Suicide Prevention FirstLine Responders' bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan melatih petugas barisan hadapan.
"Peranan petugas barisan hadapan amat penting dalam usaha pencegahan tingkah laku bunuh diri.
"Saya difahamkan, ia terdiri daripada anggota kesihatan, anggota polis, anggota bomba, anggota pertahanan awam, anggota maritim dan anggota kebajikan masyarakat.
"(Mereka ini terlibat) dalam pengendalian kes tingkah laku bunuh diri serta rujukan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya yang akan saya lancarkan sebentar lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, KKM memperkenalkan MyMinda sebagai satu komponen baru dalam aplikasi MySejahtera.
Ia terdiri daripada saringan minda sihat, sumber psikopendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial.
"Diharapkan melalui inisiatif ini, informasi dan intervensi awal psikososial dapat dicapai di hujung jari sahaja," ujarnya.
#kesihatan mental #Zaliha Mustafa #modul latihan #Kementerian Kesihatan
;