KKM laksana projek perintis pemakaian gelang pengawasan digital kepada individu kuarantin

Astro Awani
Ogos 13, 2021 18:11 MYT
Dr Chong berkata sebanyak 1,000 peranti telah digunakan kepada pengembara dari luar negara yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah.
PUTRAJAYA: Individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah termasuk bagi pengembara yang baru pulang dari luar negara akan dipakaikan gelang pengawasan pengesan digital.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata projek rintis itu dilaksanakan di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley melalui penyumberluaran dengan perolehan sebanyak 30,000 unit alat peranti.
Setakat ini, sebanyak 1,000 peranti telah digunakan kepada pengembara dari luar negara yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah, katanya.
"Peranti elektronik ini dicadangkan diguna pakai bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) memantau pergerakan individu dari luar ngeara, kontak rapat atau individu yang bergejala sementara menunggu keputusan COVID-19 serta pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 yang diarah kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.
"Melalui sistem kawalan kuarantin individu berkenaan, ia dapat dipantau degan lebih berkesan dan pada masa sama maklumat individu tersebut dapat diperoleh dan direkodkan secara digital," katanya dalam sidang media khas, di sini hari ini.
Hadir sama dalam sidang media tersebut, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #Klang #KKM #Gelang pengawasan digital #Pengembara #PKP 3 O #PKP 3 0 #MCO 3 0
;