KKM kesan lebih 800 kes kesihatan dalam kalangan mangsa banjir di Sabah, Sarawak
Bernama
Februari 3, 2025 17:17 MYT
Februari 3, 2025 17:17 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lebih 800 kes kesihatan melalui pemeriksaan yang dijalankan terhadap 9,379 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak.
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan sebanyak 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis, serta satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut telah dikesan.
"Tiada kes demam campak, tifoid, leptospirosis, COVID-19 dan kejadian wabak dilaporkan di PPS," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, 22 daripada 30 fasiliti kesihatan di Sarawak dan 27 fasiliti kesihatan di Sabah yang terjejas akibat banjir telah beroperasi semula.
Menurut KKM, Jabatan Kesihatan Sarawak telah menggerakkan 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan manakala Jabatan Kesihatan Sabah, menggerakkan 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan ke semua PPS terlibat.
KKM memaklumkan, tiga pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai psikologi, anggota paramedik serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori turut digerakkan ke semua PPS.
Semalam, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 12,409 mangsa banjir kini ditempatkan di 64 PPS di Sarawak dan 1,453 mangsa banjir di Sabah pula ditempatkan di sembilan PPS.
-- BERNAMA