KKM kerjasama dengan KPDNHEP tentukan mekanisme harga ubat

Sahlizah Mohamed
Mei 3, 2019 09:00 MYT
KKM akan bekerjasama dengan KPDNHEP dalam menentukan paras harga siling bagi bekalan ubat-ubatan pada masa akan datang. - Foto Astro AWANI
Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menentukan paras harga siling bagi bekalan ubat-ubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu telah mendapat kelulusan di peringkat Kabinet dan pada ketika ini, ia sedang dikaji oleh bahagian farmasi.
“Dari sudut harga, ia bukan di bawah KKM, tetapi di bawah KPDNHEP. Ia terletak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, jadi kita bekerjasama dengan mereka untuk kaedah penentuan harga.
“Saya tahu sektor swasta akan melihat perkara ini dengan respons yang kurang selesa, tetapi kita terpaksa ambil satu penyelesaian yang akan memberi manfaat kepada semua. Kita tidak boleh bersikap selektif. Kalau swasta terlalu mahal, hospital kerajaan akan mengalami kesesakan,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada satu sidang media khas di kementeriannya di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly memberitahu, mekanisme penentuan harga akan diguna pakai melalui rujukan dari negara luar sebagai penanda aras.
“Kita bandingkan dengan harga di negara-negara antaranya Australia, Eropah dan Amerika Syarikat. Ini adalah jurisdikasi standard yang kita gunakan sebagai rujukan.
“Kaedah pendekatan harga siling juga merupakan model yang turut digunakan oleh Australia dan Kanada. Kita ada sandaran yang agak baik, bukan buat pandai-pandai sendiri. Kita ada rujukan dan formula harga yang digunakan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau masih belum memutuskan pelaksanaan kawalan harga itu ekoran satu lagi perbincangan akan dilakukan dalam menentukan mekanisme harga yang sesuai.
#Amerika Syarikat #Australia #Hospital #kabinet #Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #Media #model #Putrajaya
;