KKM kaji kemungkinan wujud varian baharu di Sarawak - Dr Adham
Astro Awani
April 13, 2021 14:01 MYT
April 13, 2021 14:01 MYT
KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji kebarangkalian wujudnya varian baru COVID-19 di Sarawak.
Ia berikutan pembentukan kluster komuniti dan kluster tempat kerja yang tinggi di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ada beberapa kluster yang wujud berpunca daripada kes import dan perkara ini perlu ditangani segera.
“Kita juga melihat kepada varian-varian baharu sekiranya ada dalam negeri Sarawak terutama sekali negeri ini ada memiliki perusahaan dan industri minyak dan gas.
“Menerusi industri sebegini, akan ada pengembara atau petugas dari luar negara yang datang bekerja jadi kita perlu memastikan mereka juga tidak dijangkiti COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin Stadium Perpaduan Sarawak di sini pada Selasa.
Selain itu, Dr. Adham turut tidak menafikan kemerosotan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga menjadi punca kepada peningkatan R-naught (RO) COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1.1 berbanding 1.08 pada Isnin.
“Kalau Rt 1.1 bermakna 10 orang boleh menjangkiti 11 orang, jadi perkara ini kita nak bendung supaya langkah pembendungan menangani COVID-19 di negeri ini dapat diperkuatkan dengan sebaiknya,” tambahnya.
Untuk itu jelasnya, penguatkuasaan yang lebih terperinci dan ketat perlu dilaksanakan serta ditambah baik di setiap lokaliti yang terlibat.
#COVID-19 di Sarawak
#Kluster baharu di Sarawak
#varian baharu di Sarawak
#R-naught di Sarawak
#kluster aktif di Sarawak
#Adham Baba
#COVID-19
#KKM