KKM jangka jangkitan COVID-19 meningkat akibat banjir
Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 20, 2021 17:31 MYT
Disember 20, 2021 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan peningkatan kes COVID-19 berikutan bencara banjir.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Noor Hisham Abdullah, ia selepas saringan yang dilakukan sebelum ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) merekodkan 181 kes positif.
“Hasil saringan setakat jam 11 pagi hari ini antara lain membabitkan 117 kes positif di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), W Persekutuan Kuala Lumpur (empat),” katanya dalam kenyataan di laman Twitternya hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM mengesan 181 kes positif COVID-19 hasil saringan di PPS banjir di enam negeri di Semenanjung.
Jelasnya, kebanyakan kes positif COVID-19 berada dalam kategori 1 dan 2, serta telah dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan lain termasuk PPS khusus untuk individu yang disahkan positif COVID-19.
"KKM telah menjangkakan peningkatan kes ini berkemungkinan ekoran keadaan pemindahan yang terpaksa dibuat dalam keadaan yang sangat berisiko tinggi. Mungkin ada langkah-langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya," kata Khairy.