KKM jalankan kajian perancangan sumber manusia di fasiliti awam

Bernama
Mei 10, 2024 18:04 MYT
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di sini hari ini. - Foto Bernama
BALING: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung perancangan keperluan sumber manusia seperti doktor, pakar perubatan dan jururawat di fasiliti kesihatan kerajaan.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian itu bagi memastikan sumber manusia atau jumlah petugas diperlukan dapat disediakan selari dengan fasiliti kesihatan yang dibangunkan.
"Jadi di sini kita dapat lihat kita mahu fasiliti dibangunkan dan beserta dengan sumber manusia sama ada dari sudut pakar-pakarnya atau pun termasuk juga keseluruhan pasukan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai lebih 28,000 doktor pakar diperlukan menjelang 2030.
Dzulkefly berkata langkah itu juga bagi memastikan sebarang fasiliti kesihatan yang dibangunkan dapat beroperasi sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.
Mengenai bangunan tambahan Hospital Baling tersebut, beliau berkata kemudahan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan di Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Bangunan tambahan Hospital Baling telah disiapkan pada 26 Feb lepas dengan kos keseluruhan berjumlah RM124.7 juta melibatkan sembilan bidang kepakaran.
Bangunan baharu itu akan mula beroperasi pada 10 Jun ini sekali gus meningkatkan kapasiti bilangan katil Hospital Baling kepada 210 katil, empat dewan bedah, lapan katil Unit Rawatan Rapi dan lapan katil Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU).
Klinik Kesihatan Kepala Batas pula siap sepenuhnya pada 29 Feb lepas melibatkan kos RM31 juta bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesihatan #Dzulkefly Ahmad #kajian sumber manusia #fasiliti awam
;