KKM jalankan 4,169 serbuan, babit RM142 juta nilai rampasan
Bernama
Disember 17, 2019 06:36 MYT
Disember 17, 2019 06:36 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah melakukan sebanyak 4,169 serbuan dari tahun 2017 sehingga tahun ini ke atas premis farmasi berlesen, klinik perubatan swasta dan premis lain yang didapati melanggar pelbagai akta dan peraturan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia melibatkan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan ) 1956 dengan nilai rampasan mencecah RM142 juta.
"Selain itu, KKM juga menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap laman sesawang dan media sosial yang mengiklan dan menjual produk-produk kesihatan dilarang secara dalam talian dengan 3,737 tindakan sekatan telah diambil sejak 2017 hingga kini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa yang sama, katanya aktiviti pemantauan iklan-iklan perubatan di semua media cetak, media elektronik dan internet turut dipertingkat bagi memastikan pengguna tidak terpengaruh dengan tuntutan yang tidak munasabah.
Selain itu katanya notifikasi iklan juga dihantar kepada pengendali platform e-dagang dan lanjutan daripada tindakan itu sebanyak 8,562 bilangan iklan oleh pengendali platform e-dagang telah diturunkan.
Beliau berkata KKM sentiasa mengambil maklum sebarang aduan daripada orang awam bagi membanteras penjualan ubat-ubat terkawal tanpa preskripsi, pelanggaran melibatkan penjualan dan pembekalan bahan-bahan psikotropik serta aktiviti pengiklanan yang melanggar peruntukan undang-undang.
Aduan yang berkaitan boleh disalurkan melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my, melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my atau di mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan, atau melalui talian 03-78413200.
-- BERNAMA
#Dadah
#E-dagang
#iklan
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#KKM
#media sosial
#Noor Hisham Abdullah
#notifikasi
#perubatan
#tanpa preskripsi
#ubat terkawal
#undang-undang