KKM, IMU lancar SeDia Cohort Study kaji faktor diabetis dan komplikasinya

Bernama
Julai 10, 2023 05:45 MYT
Kenyataan itu menjelaskan hal itu bagi menjamin keberkesanan program perawatan dan pencegahan yang dibangunkan untuk mengekang aliran peningkatan beban diabetes di Malaysia. - Gambar hiasan/Freepik
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan International Medical University (IMU) melancarkan "SeDia Cohort Study", kajian kohort berskala besar mengenai diabetes untuk mengkaji kesemua faktor terlibat dalam penyakit kencing manis serta komplikasi dialami pesakit.
Kajian yang pertama seumpamanya itu dilancarkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Seremban, Negeri Sembilan serta turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IMU Prof Dr Abdul Aziz Baba, baru-baru ini.
KKM dan IMU dalam kenyataan bersama pada Isnin memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak bagi penubuhan Kajian Kohort Diabetes itu ditandatangani pada 17 Mei 2022 manakala protokol kajian telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM pada 17 Mac lepas.
"Kajian SeDia Cohort akan mengkaji secara komprehensif semua faktor berkaitan, daripada genetik dan sejarah diabetes dalam keluarga kepada faktor gaya hidup dan persekitaran, pemakanan, aktiviti fizikal, sosioekonomi dan penyampaian kesihatan.
"Dengan memahami interaksi kompleks pelbagai faktor ini, diharap akan menemukan kaedah terbaik mencegah dan memulihkan pesakit diabetes dan daripada situ dapat membangunkan dasar dan program kesihatan bagi menangani beban penyakit ini yang berasaskan bukti saintifik dan relevan dengan masyarakat tempatan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan hal itu bagi menjamin keberkesanan program perawatan dan pencegahan yang dibangunkan untuk mengekang aliran peningkatan beban diabetes di Malaysia.
"Kadar penyakit diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik dan antara yang tertinggi di dunia ... menjelang 2025, diunjurkan sebanyak tujuh juta rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes yang membebankan sistem kesihatan negara, kos merawat pesakit diabetes tidak termasuk kos merawat komplikasinya dianggarkan kira-kira RM3 bilion setahun," jelas kenyataan itu.
Negeri Sembilan mencatat kadar prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa (lebih 18 tahun) tertinggi di Malaysia dengan 33.2 peratus, sehubungan itu, Klinik Kesihatan Seremban Jalan Rasah dipilih sebagai Pusat Pengambilan peserta kajian manakala Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI) IMU bertindak sebagai Pusat Koordinasi kajian dan fasiliti penyimpanan spesimen biologi kajian.
Kajian 12 tahun itu merupakan langkah pertama yang penting bagi mengumpul data yang relevan dengan sosiobudaya masyarakat tempatan dan tempoh masa yang lama diperlukan kerana kejadian diabetes dan komplikasinya juga mengambil masa lama.
Menurut kenyataan itu, lebih 5,000 pesakit diabetes yang berdaftar dengan Daftar Diabetes Klinik Kesihatan Seremban dan lebih 7,000 ahli keluarga mereka terlibat bagi mengkaji interaksi kompleks pelbagai faktor yang mempengaruhi kejadian diabetes dan komplikasinya.
"Penyertaan mereka adalah secara sukarela. Dengan menggunakan sistem dan pangkalan data digital, maklumat peribadi dan perubatan melalui soal selidik yang komprehensif akan dimasukkan, termasuk data sosiodemografik, antropometrik, sejarah perubatan, pemakanan, aktiviti fizikal, ujian makmal seperti profil hematologi, profil gula dalam darah, ujian fungsi ginjal, dan fungsi hati, maklumat sosioekonomi serta kesihatan psikososial.
"Sampel darah juga akan diambil untuk penjujukan genetik bagi mengkaji kecenderungan individu menghidap diabetes dan bagi pesakit diabetes, kecenderungan mengalami komplikasi dan tindak balas terhadap ubat-ubatan dan intervensi fizikal dan pemakanan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut lebih 10,000 peserta kajian akan diambil dalam tempoh tiga tahun mulai Julai 2023 dan selepas itu, setiap peserta akan dituruti dan proses pengumpulan maklumat kajian akan diulangi setiap tiga tahun sekali sehingga satu tempoh hingga 12 tahun bagi menentukan insiden diabetes dan komplikasi baharu diabetes.
"Di samping itu, maklumat kejadian kehidupan seperti kemasukan ke hospital dan kematian akan dikumpul bagi setiap peserta dan dikemas kini setiap tahun," menurut kenyataan itu.
Para penyelidik tempatan dan antarabangsa akan diberi akses kepada kajian itu untuk melakukan analisis dan kajian tambahan tertakluk kepada kelulusan MREC kerana ini penting bagi membangunkan strategi intervensi yang spesifik untuk individu dan masyarakat bagi mencorak bagaimana diabetes diurus di peringkat nasional pada masa akan datang.
"Kajian SeDia Cohort ini akan memberi peluang kepada penyelidik memahami secara lebih mendalam peranan genetik dan persekitaran dalam kalangan masyarakat, dengan demikian, ia boleh menambah baik lagi garis panduan pengurusan diabetes dan dasar kesihatan awam ke arah hasil kesihatan yang lebih baik," menurut kenyataan itu.
IHH Healthcare Malaysia (IHH MY) sebahagian daripada IHH Healthcare Berhad yang mempunyai 83 hospital di 10 negara termasuk Malaysia, Singapura, Turkiye dan India, menjadi penaja platinum pertama menyokong kajian berkenaan dengan sumbangan berjumlah RM2 juta.
-- BERNAMA
#diabetis #bukti saintifik #program kesihatan #beban penyakit
;