KKM harap Akta 342 dipinda segera
Irwan Muhammad Zain
Oktober 30, 2020 20:08 MYT
Oktober 30, 2020 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dapat dipinda dalam waktu terdekat.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pindaan itu dibuat berikutan masalah jangkitan penyakit kini tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu saja.
Dr Noor Hisham menjelaskan, akta itu digubal pada 1988 dan rancangan untuk meminda dibuat sebelum negara dilanda pandemik COVID-19.
Jelas beliau, pindaan itu juga perlu kerana ia membabitkan isu punca kuasa untuk menguatkuasakan peruntukan dalam Akta 342.
"Sebelum pandemik lagi kita sudah mahu membuat pindaan terhadap Akta 342 kerana banyak lagi yang perlu diperhalusi.
"Perancangan untuk pinda kita sudah hantar kepada Peguam Negara," katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham sekali lagi mengulangi saranan agar pilihanraya tidak diadakan buat masa ini.
Namun jelas beliau sekiranya keperluan untuk mengadakan pilihan raya, KKM menyarankan agar digunakan tiga prinsip ketika kempen.
Dr Noor Hisham berkata tiga prinsip tersebut adalah tidak melintasi sempadan atau daerah, tidak membernarkan perhimpunan atau berkempen dan tidak ada walkabout atau kunjugan ke rumah.
"KKM mengambil maklum keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengikut ketentuan undang-undang namun begitu memang kebimbangan KKM untuk mengadakan pilihan raya buat masa ini dan syor KKM kalau boleh tidak diadakan pilihanraya," katanya lagi.
Sebanyak 799 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 466 kes atau 58.3 peratus direkodkan di Sabah.
#Kementerian Kesihatan
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Akta 342
#penyakit berjangkit
#Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
#Sabah
#KKM