KKM fokus tingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan mental - Khairy

Firdaus Azil
Oktober 21, 2022 09:36 MYT
Khairy berkata, pihak Kementerian Kesihatan berpandangan ada keperluan mendesak untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan mental negara. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
CYBERJAYA: Malaysia tidak terkecuali daripada dilanda isu kesihatan mental yang menuntut perhatian yang serius dan tindakan yang segera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, situasi di Malaysia amat membimbangkan apabila berlakunya peningkatan ketara kes bunuh diri sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 (1,142 kes), berbanding 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020.
Justeru, jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan berpandangan ada keperluan mendesak untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan mental negara.
“Pandemik COVID telah membuka mata kita apabila impak terhadap kesihatan mental telah mengakibatkan berlakunya satu lagi masalah kesihatan awam yang dikenali sebagai pandemik yang senyap, atau silent pandemic.
“Penubuhan NCEMH (Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan) ini amat penting untuk merapatkan jurang perkhidmatan, selari dengan hasrat KKM untuk mempertingkatkan akses masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan mental,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan di sini, hari ini.
Khairy berkata, pusat kecemerlangan tersebut bukan untuk tujuan penyelidikan semata-mata, tetapi juga bertindak sebagai pusat yang selamat untuk individu yang ingin mendapatkan bantuan kesihatan mental, termasuk juga ahli keluarga dan penjaga.
Beliau berkata, pembukaan pusat itu merupakan satu lagi sejarah dalam perkhidmatan kesihatan negara, atas falsafah - tiada kesihatan tanpa kesihatan mental.
“Jadikan pusat ini terbuka, bukan sahaja kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga kepada penjaga kepada individu yang menderita akibat kesihatan mental. Jadi mereka boleh datang ke sini dan dapatkan pertolongan.
“Boleh rujuk kepada perkhidmatan kesihatan atau pusat seperti Mentari. Saya mahu NCEMH ini terbuka. Kita raikan kepelbagaian, dengar rintihan mereka dengan penuh empati dan kasih sayang.
“Kita nak bawa perkhidmatan ini bukan di pusat kesihatan sahaja, tetapi bawanya ke dalam komuniti. Saya sering tekankan kita perlu ubah perkhidmatan kesihatan dari hospital, ke pusat jagaan primer, ke komuniti dan rumah-rumah, dan anda akan dapat sokongan sepanjang masa,” katanya lagi.
Berucap lanjut, Khairy berkata, pada 10 Oktober lepas bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Minda Sedunia, beliau telah mengumumkan penambahbaikan ke atas talian MHPSS dengan mewujudkan talian 5-digit atau dikenali dengan Talian HEAL 15555 dan akan mula beroperasi pada 21 Oktober 2022.
“Sukacita saya ingin umumkan, Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM akan mula beroperasi pada hari ini dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum.
“Perkataan HEAL itu bermaksud ‘Help with Empathy and Love’. Adalah diharapkan dengan wujudnya talian ini, ia dapat menggalakkan individu yang menghadapi masalah kesihatan mental tampil untuk mendapatkan bantuan awal bagi mencegah permasalahan tersebut menjadi lebih serius,” katanya lagi.
#kesihatan mental #NCEMH #Khairy Jamaluddin #sokongan kesihatan mental