KKM digesa siasat doktor, klinik jalankan pembedahan payudara beroperasi tanpa lesen
Madiha Abdullah
Julai 9, 2024 16:56 MYT
Julai 9, 2024 16:56 MYT
PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan sebuah klinik kosmetik yang dikendalikan doktor palsu di Mont Kiara.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa menjalani pembedahan payudara oleh seorang doktor dari China yang tidak mempunyai lesen sah.
Hasil siasatan yang dijalankan mereka, doktor itu dipercayai tidak mempunyai lesen sebagai pengamal perubatan.
Menurut Hishamuddin, mangsa diperdaya dengan iklan klinik tersebut yang mendakwa mempunyai lesen daripada KKM, dan mengalami kerugian lebih RM23,000 serta terpaksa berhadapan dengan kesan sampingan yang teruk susulan pembedahan yang dilakukan pada Jun 2022.
“Selepas mangsa melakukan pembedahan, payudaranya sakit jadi dia pergi ke Hospital Pakar Ara Damansara untuk dapatkan rawatan.
“Hospital mengesahkan ada masalah pada proses pembedahan tersebut dan meminta mangsa untuk melakukan pembedahan untuk tukar implan.
“Mangsa seterusnya pergi membuat aduan ke Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan mereka sahkan doktor itu palsu,” kata Hishamuddin.
Jelas Hishamuddin lagi, beberapa aduan telah dibuat mengikut saluran yang betul termasuk kepada MMA, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta ( CKAPS) dan Polis Diraja Malaysia, namun tidak mendapat respons yang diharapkan.
“Kami mahu tahu apakah solusinya? Adakah kami patut jadi agensi siasatan? Kami tak ada kuasa.
“Pergi buat aduan di PDRM, mereka kata kena buat aduan pada KKM, KKM kata pergi MMA. Kemudian minta buat aduan pada KKM, KKM kata klinik itu sudah tak beroperasi, tetapi kami pergi buat pemeriksaan, ia masih beroperasi.
“Jadi apa yang tindakan yang perlu kami buat sebenarnya?” soalnya.
Beliau ditemui pada Selasa, ketika hadir ke KKM bagi menyerahkan surat aduan rasmi kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, melalui pegawai khasnya, B.Sivabalan.
Hishamuddin juga memaklumkan MHO bersama mangsa bersedia dipanggil sebagai saksi oleh KKM sekiranya diperlukan untuk melengkapkan siasatan.
Sementara itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alice, 33, berkata, dia mengetahui tentang klinik berkenaan menerusi iklan di media sosial dan tertarik dengan tawarannya.
"Harga yang ditawarkan lebih kurang saja dengan klinik lain tetapi cara promosinya menarik malah ada juga pempengaruh YouTube yang membuat promosi klinik itu.
"Tambahan pula ada dinyatakan pada iklan itu yang klinik tersebut ada lesen KKM, jadi saya tidak banyak soal," katanya yang bertugas sebagai penata gaya.
Sehingga kini, Alice masih menanggung kesakitan akibat pembedahan itu, malah tidak dapat membuat rawatan susulan kerana wang yang dimiliki sudah dihabiskan untuk pembedahan tersebut.
"Saya kecewa dengan situasi sekarang, rasa seperti ditolak ke sana ke mari sedangkan saya sudah buat aduan ikut prosedur yang betul," katanya.