KKM diarah beri petugas kesihatan cuti rehat secara berperingkat
Astro Awani
Mac 25, 2020 14:51 MYT
Mac 25, 2020 14:51 MYT
Menyedari keletihan kumpulan barisan hadapan menangani COVID-19, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kesihatan memberikan cuti rehat secara berperingkat kepada petugas kesihatan.
Pada masa sama, katanya tenaga sukarela akan membantu mengambil tugas sepanjang mereka direhatkan.
"Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini. Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.
"Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu," katanya ketika Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Rabu.
Selain petugas kesihatan, anggota keselamatan negara turut disaran menjaga kesihatan sambil terus menjalankan tanggungjawab demi keselamatan negara.
"Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara," ujar Muhyiddin.
Tegas Perdana Menteri, beliau akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
"Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik.
"Insya-Allah, dengan izin Allah S.W.T kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini. Kepada petugas-petugas di barisan hadapan, saya doakan saudara-saudari terus cekal. Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah," ujarnya.
#Allah
#Amanah
#COVID19
#Hospital
#Kementerian Kesihatan
#keselamatan
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#polis
#rakyat
#rakyat Malaysia
#tentera