KKM dan KPM putus SOP sesi persekolahan Khamis ini - Khairy
Bernama
September 7, 2021 23:58 MYT
September 7, 2021 23:58 MYT
SEMPORNA: Keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan bagi sesi persekolahan secara bersemuka 3 Okt ini akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), Khamis ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebaik keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat itu, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.
"Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Radzi Jidin) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.
"Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan dekat sini hari ini.
Beliau berkata selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran COVID-19 yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.