KKM cadang waktu pengoperasian klinik kesihatan dilanjutkan

Umavathi Ramayah
Januari 6, 2023 10:10 MYT
Menurut Dr Zaliha, Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengarah Kesihatan negeri disaran meneliti semula keperluan melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ia adalah bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik tersebut dan bukan di Jabatan Kecemasan.
“Saya mencadangkan Pengarah Kesihatan Negeri supaya meneliti semula keperluan klinik kesihatan berhampiran di bawah seliaan masing-masing beroperasi secara 'extended hour',” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.
Menurut Dr Zaliha, Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam.
“Keadaan tersebut berlaku disebabkan 70 peratus kes yang diterima adalah kes-kes bagi zon hijau iaitu bukan kritikal.
“Ini bertentangan dengan skop atau fungsi sebenar Jabatan Kecemasan Hospital yang sepatutnya menerima kes-kes kritikal,” ujarnya.
Zaliha menambah, perkara itu berlaku terutamanya di kawasan bandar berikutan jumlah populasi yang semakin meningkat.
Faktor lain ialah kecenderungan pelanggan mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik Kementerian Kesihatan termasuk di Jabatan Kecemasan Hospital, walaupun penyakit yang dihadapi dikategorikan sebagai bukan kritikal.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa Pengarah Hospital untuk memastikan pembukaan perkhidmatan baharu dengan segera dilaksanakan apabila kelulusan jawatan atau sumber manusia tambahan disertakan dengan kelulusan peruntukan kewangan.
“Langkah ini perlu dilakukan dengan suatu perancangan yang teratur dan teliti agar sumber manusia, peruntukan kewangan serta kemudahan fasiliti diagihkan secara pentadbiran untuk mengelakkan dari berlakunya kekangan sumber yang serius.
“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan di hospital menjadi lebih efektif, Pengarah Kesihatan Negeri juga disarankan untuk membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja, contohnya dengan menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital,” ujarnya.
Menurutnya, langkah itu dapat mengurangkan isu tempoh bekerja yang terlalu lama bagi satu-satu masauntuk seseorang pegawai dan secara tidak langsung dapat mengelakkan atau mengurangkan kejadian burn-out.
#Jabatan Kecemasan #Zaliha Mustafa #Klinik kesihatan #kesesakan
;