KKM buka permohonan untuk petugas perubatan ke Gaza

Astro Awani
November 15, 2023 13:23 MYT
Dr Zaliha Mustafa, berkata permohonan atas talian itu adalah secara sukarelawan dengan mereka yang terpilih akan didedahkan dengan latihan serta persediaan yang bersesuaian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuka permohonan secara dalam talian untuk pegawai berminat menyertai pasukan perubatan Malaysia ke Gaza.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata permohonan atas talian itu adalah secara sukarelawan dengan mereka yang terpilih akan didedahkan dengan latihan serta persediaan yang bersesuaian.
"Dari sudut pasukan, insya-Allah kita bersedia dan akan melatih mereka. Latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana apabila berdepan dengan peperangan ini ia satu perkara yang sangat menekan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Integriti KKM Tahun 2023 di kementeriannya di sini hari ini.
Pada Isnin, KKM dilapor berkata pihaknya bersedia dan telah mengenal pasti pasukan perubatan bantuan yang boleh digerakkan ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja kebenaran diberikan.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan belasan ribu nyawa.
Berhubung pembaikan klinik daif, Dr Zaliha berkata KKM menjangkakan 511 klinik daif dapat dibaiki menjelang akhir tahun ini menggunakan dana berjumlah RM111 juta.
"(Sebenarnya) untuk tahun ini, kita sasar 436 klinik dapat dibaiki dengan dana RM111 juta tetapi disebabkan penjimatan dan tata kelola yang baik, kita akan menambah 75 klinik daif untuk kita selesaikan (baiki) tahun ini dengan bajet yang sama," katanya.
#Perang Palestin-Israel #Malaysia #pasukan perubatan #KKM #dr zaliha
;