KKM bentang Kertas Putih berhubung perolehan vaksin COVID-19 di Dewan Rakyat - PM Anwar
Madiha Abdullah
Februari 8, 2023 15:18 MYT
Februari 8, 2023 15:18 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka akan membentangkan satu Kertas Putih berkaitan perolehan vaksin COVID-19 dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini berikutan dapatan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, berlaku perkara yang didakwa tidak mengikut proses sewajarnya.
"Dr Zaliha (Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan) akan memberikan butiran, cukup untuk saya katakan kami memutuskan pembentangan Kertas Putih ini adalah kerana penemuan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, mengenai penyelewengan dan urus niaga dan kelulusan yang diberikan, tidak mengikut proses dan perolehan yang sewajarnya.
"Sebahagian daripadanya dipersoalkan daripada segi bilangan dan kos, jadi beliau (Dr Zaliha) akan membentangkannya kepada Parlimen," katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan turut membentangkan Kertas Putih berkaitan isu Batu Puteh di Parlimen.
"Masalah kita adalah kerana laporan pasukan khas itu membantah keputusan untuk tidak merayu, menyebabkan kita kehilangan wilayah Malaysia dan di mana-mana negara pun kehilangan wilayah ini masalah besar.
"Saya jelaskan kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, ia tidak akan menjejaskan hubungan baik dua hala atau kedudukan status Batu Putih yang sekarang sudah jadi milik Singapura mengikut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, namun tindakan kita yang melanggar proses itu terpaksa diangkat dan jemaah menteri sudah berbincang panjang.
"Keputusan kita serahkan kepada kebijaksanaan Parlimen," jelasnya.